GEORGETOWN - DAP tetap bertegas dengan pendiriannya berhubung penggunaan kalimah ALLAH.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu tetap mempertahankan dan tidak akan berganjak daripada pendirian mereka sebelum ini.

“Walaupun Mahkamah Rayuan memutuskan Gereja Katolik dilarang menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan akhbar mingguannya The Herald, kita (DAP) tetap dengan pendirian seperti sebelum ini. Pendirian DAP berhubung isu kalimah ALLAH adalah jelas.

“Saya rasa anda semua tahu apakah pendirian DAP berhubung isu ini, namun pendirian berkenaan tidak mewakili suara pakatan pembangkang,” katanya kepada media semalam.

Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan Gereja Katolik dilarang menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan akhbar mingguannya, The Herald.

Ini bermakna keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember 2009 yang membenarkan penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan Roman Katolik adalah dibatalkan.

Mahkamah Rayun juga berpendapat, tiada alasan mengapa Gereja Katolik berkeras menggunakan kalimah itu dalam penerbitannya, jika dibenarkan akan menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata, Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan mesyuarat pada hari ini bagi membincangkan isu berkenaan.

“PR akan bermesyuarat esok (hari ini) untuk membincangkan pendirian ketiga-tiga parti berhubung isu ini. Mesyuarat itu menentukan pendirian PR dengan tidak mengetepikan pendirian mana-mana parti di dalamnya (PR).

“Mesyuarat ini juga diadakan bagi menghormati ketiga-tiga parti dalam mengeluarkan satu kenyataan bersama. Saya tidak boleh bercakap mewakili pakatan pembangkang kerana isu ini adalah sensitif, jadi kita akan tunggu mesyuarat PR dalam menentukan pendirian pakatan terhadap isu ini,” katanya.

Sebelum ini, Guan Eng  pernah mendesak kerajaan supaya membenarkan penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi bahasa Melayu seperti yang diamalkan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun lalu ketika menyampaikan perutusannya sempena Hari Natal tahun lalu.

Pada awal tahun ini, PR mengambil pendirian menyatakan Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah ALLAH dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran yang seterusnya turut dipersetujui Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.